Antara dalil mereka ialah firman Allah SWT: إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).” Surah al-Nisa’ (48) Ibn Kathir berkata: Allah SWT memberitahu bahawa Dia tidak mengampuni perbuatan syirik dengan maksud Dia tidak mengampuni seseorang hamba yang menemui-Nya (mati) dalam keadaan musyrik. Sebaliknya Allah SWT mengampuni dosa yang selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya daripada kalangan hamba-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/327) Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda: إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ Maksudnya: “Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya Allah SWT menerima tau...